Kalam Murabbi Tarbiah

Tuan Guru Dato' Haji Yahaya Othman al-Kalantani

Kalam Mantan Presiden

Ustaz Dato' Fadzil @ Ali Mohd Noor.

Makluman

Untuk Ahli-Ahli PAS dalam Kawasan Padang Serai

Kalam Timbalan Murshid

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din

Kalam Sang Murshid

Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kalam Daie Sejuta Ummah

Ustaz Azhar Idrus.

Sunday, July 6, 2008

TARBIYAH MENGISI KEMENANGAN


MUQADDIMAH
Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Raja segala Kerajaan (Al-Malik Al-Mulk) di atas anugerah kemenangan kepada PAS sebagai Harakah Islamiyah bagi mendaulatkan Islam khususnya di bumi Kedah. Sebagai amilin yang mendokong perjuangan ini semestinya kemenangan ini sesuatu yang sangat dinantikan setelah lebih 50 tahun berjuang. Pelbagai reaksi dapat dilihat dari para pendokong dan penyokong PAS dalam meraikan kemenangan anugerah Allah ini. Namun persoalannya adakah semua reaksi kemenangan tersebut selaras dengan apa yang dianjurkan Islam atau tidak. Usrah kali ini ingin mengajak semua amilin PAS khususnya di Parlimen Padang Serai untuk bermuhasabah mengenainya demi untuk memastikan kemenangan ini terus menjadi landasan menuju keredhaan Allah dalam usaha kita untuk mencapai matlamat yang utama daripada Harakah Islamiyah yang kita dokong ini.
Mafhumnya : Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan (1) Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong (2) Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya dia adalah Maha Penerima Taubat (3) (Al-Nashr: 1-3)
KEMENANGAN JUGA UJIAN ALLAH
Setiap perjuangan semestinya mengharapkan kemenangan. Namun kemenangan ini sering ditakrifkan sebagai buah yang diperolehi hasil daripada usaha dalam perjuangan semata-mata tanpa menyedari ianya juga anugerah Allah untuk menguji para pejuang yang berjuang di jalanNya. Kesilapan dalam memahami erti kemenangan ini mampu merosakkan kesucian matlamat sesebuah harakah yang pada asalnya menggariskan matlamat yang lebih suci daripada kemenangan ini. Firman Allah SWT:
Mafhumnya : Dan Dia lah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya dan Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-An’am : 165)
Justeru itu amilin PAS seharusnya menyedari hakikat ini dan bersedia menghadapi ujian ini dengan penuh keimanan bahawa setiap tindakan manusia adalah ditaklifkan Allah. Kesedaran ini akan memandu amilin PAS sebagaimana seharusnya kita bersyukur dan mengisi kemenangan ini agar ianya tidak menjadi hujah ke atas kita di hari perhitungan nanti.
KEMENANGAN HANYA ALAT DALAM PERJUANGAN
Kemenangan yang dicapai dalam sesuatu perjuangan hendaklah disedari sebagai alat dalam perjuangan untuk mencapai matlamat mendaulatkan Agama Allah di muka bumi ini. Segala yang diperolehi daripada kemenangan ini hendaklah digunakan sebagai alat untuk mencapai matlamat tertinggi dengan segala tumpuan secara berhikmah agar kemenangan ini tidak menjadi “dhirar” kepada Harakah Islamiyyah seperti PAS yang boleh merencatkan usaha mendaulatkan Islam. Firman Allah SWT:
Mafhumnya : Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan rasul-Nya sejak dahulu [660]. Mereka Sesungguhnya bersumpah :”Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” dan Allah menjadi saksi bahwa Sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) (107) Janganlah kamu bersembahyang dalam mesjid itu selama-lamanya. sesungguhnya mesjid yang didirikan atas dasar taqwa (mesjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu sholat di dalamnya. di dalam mesjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri, dan Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih (108) (al-Taubah:107-108)
Kuasa yang diperolehi daripada kemenangan hendaklah digunakan sebagai alat dalam kaedah penyempurnaan dakwah Islam untuk menarik masyarakat kepada Agama Allah yang menjadi tanggungjawab utama pemimpin Islam. Kekuasaan atau kemenangan ini tidak boleh melalaikan amilin PAS daripada berjihad pada jalan Allah sebagaimana masjid yang menjadi tempat yang suci bagi umat Islam juga tidak boleh menjadi tempat yang melalaikan ummah daripada berjihad. Inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW selepas diberi kuasa memimpin negara Islam Madinah. Baginda SAW tidak menjadikan kuasa hanya untuk memimpin ummah semata-mata tetapi menjadikannya sebagai alat untuk menyempurnakan misi dakwahnya. Teladan ini juga diteruskan oleh Khulafa’ Al-Rashidin yang menggantikan baginda SAW.
KEMENANGAN BUKAN TEMPAT UNTUK MEREKA YANG MENGEJAR KEDUNIAAN
Kemenangan yang diperolehi dalam perjuangan ini hendaklah diisi dengan penuh keinsafan sebagai amanah Allah kepada manusia yang menjadi “Khalifatullah fil Ardh”. Manusia bukannya “Rabb” yang boleh menentukan sendiri halatuju pentadbiran di bumi Allah ini atau mengambil apa sahaja peluang keduniaan yang terhidang daripada perolehan kuasa ini, tetapi kita adalah “pengganti” untuk memakmurkan bumi MILIK ALLAH yang merupakan “RABB” bagi alam ini. Justeru itu jangan merebut kesenangan dunia daripadanya kerana ia bukan milik kita dan bukan hak kita. Sikap ini harus dikikis daripada amilin PAS yang merupakan sebuah Harakah Islamiyah bukan sekadar Parti Politik semata-mata. Firman Allah SWT:
Mafhumnya : Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”, Maka apabila ia disakiti (karena ia beriman) kepada Allah, ia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah, dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata : “Sesungguhnya kami adalah bersamamu”. bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia? (10) Dan Sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman; dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang munafik (11) (Al-Ankabut :10-11)
Wallahu ‘a’lam…
Lajnah Tarbiyyah & Kepimpinan
PAS Kawasan Padang Serai

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More